Selasa, 29 Disember 2009

SELAMAT TINGGAL 2009

KEPADA SEMUA SAHABAT DAN RAKAN TAULAN YANG MELIHAT ATAU MENGUNJUNGI BLOG INI, PENULIS TIDAK AKAN LAGI MENAMBAH ARTIKELNYA, DAN ARTIKEL - ARTIKEL DI BAWAH MERUPAKAN ARTIKEL - ARTIKEL YANG TERAKHIR PENULIS PADA TAHUN 2009 MASIHI. INSYA - ALLAH, TAHUN HADAPAN KITA AKAN BERJUMPA LAGI. PENULISAN BERHENTI SETAKAT INI SAHAJA.


ARTIKEL - ARTIKEL BARU AKAN DITAMBAH PADA 5 JANUARI 2010.





SELAMAT TAHUN BARU 2010

Khamis, 29 Oktober 2009

Neraka buat Abu Lahab, Ummu Jamil

PADA suatu masa di Kota Mekah, di satu kawasan yang dikenali Shafa yang tidak berapa jauh dari Kaabah, tinggal sepasang suami isteri di sebuah rumah yang sentiasa dihias cantik dan lebih mewah berbanding jiran-jirannya yang lain.

Namun rumah pasangan ini sentiasa tertutup pintu dan tingkapnya yang memberikan gambaran penghuninya mempunyai sifat dengki, tamak haloba, sombong dan egoistik.

Pasangan suami isteri itu tidak lain tidak bukan ialah Abu Lahab dan isterinya, Ummu Jamil.

Nama sebenar Abu Lahab ialah Abdul Uzza, putra tokoh Quraisy yang disegani, Abdul Mutalib yang juga saudara tokoh-tokoh yang disegani di kalangan kaum itu iaitu Abdullah, Abu Talib dan Abbas.

Akan tetapi, Abu Lahab memiliki sifat yang tidak sama dengan saudara-saudaranya itu, baik dalam hal kesopanan, keberanian mahupun yang lain. Abu Lahab (perkataan Arab yang bermakna mempunyai kulit yang putih dan cerah) mungkin kebetulan boleh disamakan dengan perkataan Melayu kita 'lahab.'

Ini kerana Abu Lahab memang terkenal sikap rakus dan tamak dalam banyak hal. Perbuatan beliau yang dianggap paling melampaui batas apabila Abu Lahab dikatakan pernah mencuri emas-emas yang terdapat di Kaabah.

Isterinya, Ummu Jamil juga seorang yang ego, suka berdengki dan pelbagai perangai buruk yang lain. Sifat-sifat buruk itu sebagai menutup kekurangan yang ada pada dirinya, iaitu sebelah daripada matanya, buta.

Cacat pada matanya itu membuatkannya selalu merasa iri kepada sesiapa sahaja.

Sehinggalah pada suatu Subuh yang hening, Ummu Jamil hampir-hampir bergaduh dengan suaminya apabila tidur mereka terganggu dek satu suara yang melaung-laung dan memanggil orang ramai untuk berkumpul.

Abu Lahab begitu memarahi isterinya kerana dia masih mahu tidur dan pening kerana mabuk.

"Celaka aku keranamu wahai perempuan jahat!" kata Abu Lahab terhadap isterinya itu.

Lalu dibalas juga oleh Ummu Jamil dengan kata-kata yang kesat. "Aku pun celaka kerana kau wahai pemalas yang suka tidur! Demi kebenaran berhala, jika kamu tidak memberitahuku (siapa yang melaung-laungkan suara itu) nescaya tidak akan ku biarkan kamu tidur dengan tenang walau sekejap!" katanya.

Akhirnya Abu Lahab bingkas bangun dan mahu menyertai perhimpunan setelah beliau dapat mengenalpasti suara yang memanggil-manggil itu iaitu tidak lain tidak bukan anak saudaranya sendiri, Nabi Muhammad.

"Pasti itu Muhammad yang memanggil kita kerana ada suatu hal yang penting," kata Abu Lahab.

"Barangkali ada harta yang akan diberi olehnya kepada kita," sampuk Ummu Jamil.

Abu Lahab pun segera menyertai anak saudaranya yang ketika itu telah berada di atas Bukit Safa dan menyeru kepada seluruh yang hadir.

"Apakah kamu akan percaya seandainya ku katakan kepadamu bahawa seekor keldai telah keluar dari kaki bukit ini?" teriak Nabi Muhammad kepada semua yang hadir.

"Kamu tidak pernah mendustai kami, kami mempercayai kamu!" ujar mereka hampir serentak.

Lalu Nabi Muhammad pun berkata; "Sesungguhnya aku adalah seorang pemberi peringatan kepadamu sebelum kamu menghadapi azab yang pedih!"

Abu Lahab yang mendengar kata-kata anak saudaranya itu terus pergi meninggalkan kaki Bukit Safa itu dengan marah-marah.

Abu Lahab sangat marah lalu berteriak dengan suara yang nyaring; "Celakalah kamu untuk selama-lamanya. Hanya untuk itukah kamu kumpulkan kami di sini?".

Daripada peristiwa inilah, Allah mengutuk Abu Lahab kerana sikapnya yang degil dan begitu memusuhi Islam dengan diturunkan-NYA surah al-Masaad (Bernyala-nyala), ayat 1 hingga 5, bermaksud: Binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab dan sesungguhnya dia akan binasa. Hartanya dan segala yang diusahakannya tidak dapat menolongnya. Dia akan masuk ke dalam api neraka yang marak menjulang. Dan juga isterinya (Ummu Jamil) seorang pemunggah kayu api. Dilehernya ada tali daripada tali-tali yang dipintal daripada sabut.

(Sesetengah riwayat mengatakan ayat itu diturunkan sebagai mengecam tindakan Ummu Jamil yang suka menyakiti Rasulullah di kemuncak penentangan pasangan suami isteri ini terhadap baginda)

Setibanya di rumah, Abu Lahab disambut oleh isterinya yang kehairanan melihat kepulangan suaminya itu.

"Celakalah kamu wahai perempuan! Mengapa aku harus lama di sana. Kalau yang aku dapat hanyalah si Muhammad yang hendak mengajak kita semua supaya menerima ajaran baru dia itu," jawab Abu Lahab.

Mereka suami isteri semakin tidak senang duduk dengan perkembangan Islam yang semakin diterima oleh masyarakat Arab Quraisy. Mereka menjadi semakin dengki namun tahukah anda apakah faktor sebenarnya yang menjadikan mereka begitu benci kepada Islam?

Adakah semata-mata kerana menyembah berhala itu satu ajaran yang sangat mulia dan mesti dipertahankan?

Kata Abu Lahab kepada Ummu Jamil: "Kini kita perlu sedar setelah melihat kenyataan yang terjadi. Bahayanya mengenai Islam semakin diterima ramai apabila tidak akan ada lagi utusan atau orang Arab yang akan datang untuk mempersembahkan korban mereka kepada berhala-berhala kita.

"Kita tidak akan mendapat manfaat dengan seruan (Islam) Muhammad itu. Bukankah demikian wahai Ummu Jamil?" kata Abu Lahab.

Ternyata merekalah yang selama ini berkongsi hasil daripada penyembahan dan segala macam objek yang dijadikan korban kepada berhala-berhala.

Bukan kerana mempertahankan agama nenek moyang seperti yang selalu mereka laung-laungkan.

Sejak itu mereka suami isteri sentiasa berusaha untuk menyekat perkembangan Islam secara lebih serius.

Ini termasuklah Abu Lahab akan mengekori anak saudaranya yang keluar untuk menyampaikan dakwah Islamiah dan kemudian akan memburuk-burukkan Nabi di hadapan orang ramai dengan pelbagai kata yang menghina dan menyakitkan hati.

Sementara apa yang dilakukan oleh Ummu Jamil adalah lebih dahsyat lagi. Setiap hari beliau akan keluar untuk mengumpulkan kayu-kayu yang tajam dan penuh duri untuk ditaburkan di hadapan rumah dan sepanjang jalan yang sering dilalui oleh Nabi Muhammad.

Dikatakan tidak ada ruang sedikit pun di permukaan jalan tersebut kecuali semua penuh dengan duri yang pelbagai bentuk yang menyebabkan tanpa baginda sedari, baginda akan terpijak dan melukakan kakinya.

Maka itulah yang dilakukan oleh Ummu Jamil setiap hari kerana dia merasakan satu kebahagiaan dan kepuasan yang luar biasa setiap kali meletakkan duri-duri itu dan menyakiti anak saudaranya itu.

Untuk bertindak lebih jahat, dia kemudiannya melaksanakan satu lagi misi terhadap Rasulullah dan kali ini melibatkan hubungan kedua-dua buah keluarga.

Ummu Jamil segera menemui anaknya, Uthbah yang mengahwini anak perempuan Rasulullah yang bernama Ruqayyah dan seorang lagi anaknya, Mukhtab yang juga berkahwin dengan seorang lagi anak perempuan baginda yang bernama Ummu Kalsum.

Benar, Abu Lahab dan isterinya itu selama ini bukan sahaja mempunyai hubungan bapa saudara dan anak saudara dengan Nabi Muhammad malah mereka sebenarnya adalah berbesan.

Dek kerana bencinya Ummu Jamil terhadap besannya itu, beliau kemudiannya memaksa anak-anak lelakinya itu supaya menceraikan isteri masing-masing. Sehingga ke tahap itu sekali sehingga sanggup memutuskan hubungan yang suci semata-mata memenuhi nafsu syaitannya itu.

Pastinya Uthbah dan Mukhtab tidak dapat memenuhi kehendak ibu mereka yang melampau itu kerana selama ini mereka tidak menghadapi sebarang masalah dan bahagia dengan pasangan hidup masing-masing.

"Baiklah, jika itu keputusan kalian ibu akan pergi Kaabah dan akan bersumpah di hadapan berhala-berhala yang ada di situ, bahawa kamu semua bukan anak ibu lagi kerana kamu telah derhaka!" ancam Ummu Jamil.

Walaupun terkejut namun demi seorang ibu, mereka terus menemui bapa mertua, Nabi Muhammad.

Lalu melafazkan di hadapan baginda; "Mulai saat ini, kami menceraikan puteri-puteri anda yang kami kahwini selama ini dan mula menentang agama yang anda cuba sebarkan demi maruah berhala-berhala yang mulia!"

Rasulullah yang terkejut dengan tindakan menantu-menantu baginda itu tidak mampu melakukan apa-apa kecuali berdoa moga balasan yang setimpal ditimpakan terhadap keluarga Abu Lahab ini.

Ummu Jamil benar-benar bersorak kegembiraan atas tekanan demi tekanan yang beliau lakukan terhadap Rasulullah.

Namun semua itu masih tidak menghentikannya daripada terus menyakiti Rasulullah. Sehingga di akhir hayatnya, Ummu Jamil dalam usia lanjut akhirnya menemui ajal kerana keletihan menaburkan duri-duri di atas jalan bagi melukakan Nabi Muhammad itu.

Kisah Abu Lahab dan keluarganya ini merupakan kisah yang dikutip dari sebuah buku lama yang bertajuk Profil Di Balik Cadar - Kisah Wanita Dalam al Quran, karya Jabir Asy-syal (terbitan tahun 1986). Penulis memegang ijazah kedoktoran dalam Sastera Cum Laude dari Universiti Iskandariah Mesir, 1961

Walaupun pernah diceritakan mengenai kedua-dua mereka sebelum ini tetapi menerusi buku ini rasanya masih banyak mengenai Ummu Jamil dan Abu Lahab yang hendak dikongsi bersama.














Suara, muka bukan aurat


MAZHAB Shafie yang menjadi ikutan majoriti umat Islam negara kita meletakkan bahawa suara wanita, muka dan tangannya adalah bukan aurat.


BARU-baru ini isu niqab (cadur) timbul apabila Sheikhul Azhar Sheikh Muhammad Tantawi meminta para siswi Al-Azhar agar melepaskan niqab.

Walaupun ada pandangan mazhab lain mengatakan suara dan seluruh badan wanita adalah aurat namun yang jelas mazhab Shafie yang menjadi ikutan majoriti umat Islam negara kita meletakkan bahawa suara wanita, muka dan tangannya adalah bukan aurat.

Dan yang jelas lagi, tidak ada dalil al-Quran serta hadis mengatakan bahawa suara dan muka wanita serta tangannya itu aurat sebagaimana sangkaan sesetengah pihak.

Apakah mereka sedar bahawa Allah S.W.T membenarkan para sahabat berkomunikasi dan bercakap-cakap dengan mereka (isteri Nabi) di sebalik tirai sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Bertanyalah kepada mereka dari belakang tabir yang demikian itu lebih bersih bagi hati kamu dan mereka juga. (Al-Ahzab: 32 dan 53).

Dalam suatu hadis, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Apabila seorang gadis itu dewasa (sampai umur), maka tidak halal badannya terdedah selain muka dan tangannya sahaja."

Hakikat ini menggambarkan sebagaimana apa yang berlaku terhadap Asma binti Abu Bakar apabila Asma datang berjumpa Nabi SAW dengan pakaian jarang dan nipis. Baginda berpaling daripadanya lalu bersabda yang bermaksud: Wahai Asma, seorang wanita apabila sudah baligh, tidak elok lagi badan (tubuhnya) kelihatan selain muka dan tangannya sahaja. (Riwayat Abu Daud).

Demikian juga kaum wanita itu disuruh melabuhkan (tutupkan) atas lubang tengkuknya sahaja bukan bermaksud tutup atas muka mereka.

Kata Syaikh Yusuf al-Qardawi, pendapat Ibnu Abbas lebih kuat dan masyhur pada pandangan jumhur (kebanyakan) ulama, kerana katanya, banyak ayat dan hadis yang mengarahkan kaum lelaki daripada umat Islam menyekat atau menutup pandangan mata mereka, sama juga dengan kaum wanita disuruh merendahkan pandangan mata mereka.

Jika muka dan aurat wanita sudah tertutup kemas di depan mereka maka pastilah arahan tersebut menjadi sia-sia dan percuma tanpa sebarang makna dan tujuan.

Pada prinsipnya suara, muka dan tangan wanita bukanlah termasuk aurat. Sekiranya perkara tersebut memang merupakan aurat, maka sukarlah bagi kaum wanita dan tentunya taklif atau beban syariat yang dikenakan kepada mereka bersifat usr iaitu sangat sukar.

Ini bercanggah dengan prinsip agama Islam bahawa Ad-Dinu Yusr, iaitu agama itu mudah, sedangkan kaum wanita juga merupakan 'makhluk sosial' yang berhajat untuk berkomunikasi dengan sesama insan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki ajnabi) kerana yang demikian menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan). (Surah al-Ahzab: 32)

Allah tidak melarang mereka secara mutlak untuk bercakap dengan kaum lelaki bahkan membolehkan, selama tidak mendatangkan fitnah bagi dirinya dan bagi kaum lelaki itu.

Allah melarang kaum wanita untuk melembutkan suara dan mendedah kecantikan mereka semasa bercakap dengan kaum lelaki supaya mereka tidak tergoda ataupun tergugat keimanannya dan menimbulkan berahinya.

Dengan demikian, pada prinsip suara, muka dan tangan wanita bukanlah aurat yang dilarang untuk dilihat atau didengarkan.

Dahulu para sahabat daripada golongan lelaki dan wanita sering bertanya (berdialog) kepada Rasulullah SAW tentang masalah-masalah hukum-hakam dalam agama dan didengar oleh kaum lelaki dan wanita yang hadir daripada sahabat-sahabat baginda.

Bahkan sering pula mereka berdialog dengan para sahabat dan sebaliknya sebagaimana di saat ada seorang wanita yang mengkritik Umar r.a. tentang perkara mas kahwin.

Rasulullah SAW pernah didatangi seorang wanita yang menawarkan dirinya untuk dikahwini oleh Rasulullah SAW dan membiarkan Rasulullah memerhatikan dirinya dari atas ke bawah, tetapi setelah tidak ada sambutan yang memberangsangkan, maka dia pun terus duduk di situ, lalu berkatalah salah seorang daripada kalangan sahabat: "Kahwinkanlah wanita ini dengan saya."

Maka Rasulullah SAW terus mengahwinkan wanita tersebut dengan lelaki yang berminat kepadanya itu. Ini semua bukti melihat kepada muka wanita itu adalah harus dan bukan aurat.

Menurut Al-Qurtubi, suara wanita di saat berkata-kata bukanlah termasuk aurat, lelaki dibolehkan bercakap-cakap atau berdialog dengan wanita kerana ada hajat.

Demikian juga sebaliknya mereka dibolehkan membuka muka dan tangannya kerana tujuan tertentu tetapi wanita tidak dibolehkan memerdukan, melembutkan atau mengindahkan suaranya ketika bercakap dengan lelaki.

Ia kerana perkara demikian boleh menimbulkan berahinya dan juga membuat ia tergoda dan suka. Dengan demikian sangat dianjurkan bagi kaum wanita untuk tidak berdialog dengan kaum lelaki yang bukan mahramnya.

Dalam ketentuan syariah yang lebih berhati-hati (warak), dimakruhkan kepada kaum wanita untuk meninggikan suara dalam membaca al-Quran, demikian pula tidak disyariatkan 'azan' kecuali untuk jemaah wanita sahaja.

Di dalam syariat fikah, apabila seorang wanita ingin menegur kesilapan yang dilakukan oleh imam di dalam solat berjemaah, maka ia tidak boleh menegur dengan membaca 'tasbih' sebagaimana yang dilakukan oleh lelaki, tetapi cukup dengan menepuk tangannya sahaja sebagaimana yang disebutkan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim.

Demikian pula wanita tidak disyariatkan untuk membaca bacaan-bacaan dalam sembahyang dengan bacaan yang nyaring pada sembahyang Maghrib, Isyak dan Subuh sebagaimana yang disyariatkan bagi kaum lelaki sewaktu melakukan sembahyang sendirian.

Semua ini menunjukkan bahawa wanita mesti menjaga dan berhati-hati terhadap fitnah yang boleh disebabkan oleh suara dan perhiasan mereka, bukan bermakna suaranya dan perhiasan yang zahir merupakan aurat.

Di antara yang menggoda lelaki adalah derai tawa (ketawa) seorang wanita di depan mereka, apalagi jenis ketawa yang memberahikan.

Demikian pula senyuman diiringi dengan ketawa kecil yang seksi lagi menggoda, inilah yang sangat dilarang oleh agama kerana untuk menjaga harga diri wanita dan juga mencegah daripada timbulnya fitnah. Sama juga membunyikan perhiasan yang tersembunyi di kakinya.

Jika perkara tersebut dikatakan aurat, kenapa Rasulullah SAW sendiri pernah mengizinkan isteri baginda melihat pertunjukan dua orang lelaki Habsyi bermain pedang di pekarangan masjid dan mendengar dua wanita bernyanyi di rumahnya.

Ini berdasarkan hadis riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Aisyah r.a, katanya, Pada suatu hari Rasulullah SAW masuk ke tempatku. Ketika itu di sampingku ada dua orang gadis yang sedang mendendangkan nyanyian tentang hari Bu'ats. Ku lihat Rasulullah SAW berbaring tetapi dengan memalingkan mukanya.

Pada saat itulah Abu Bakar masuk dan ia marah kepadaku'. Katanya, "Di tempat rumah Nabi ada seruling syaitan?'' Mendengar seruan itu, Nabi SAW menghadapkan muka baginda kepada Abu Bakar dan berkata: "Biarkanlah kedua-duanya, hai Abu Bakar.

Dalam satu peristiwa lain, Rasulullah SAW mendengar nyanyian seorang wanita yang bernazar untuk memukul rebana dan bernyanyi di hadapan Rasulullah SAW.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Tarmizi, daripada Buraidah, menyebut: "Suatu hari Rasulullah SAW pergi untuk menghadapi suatu peperangan.

Setelah baginda pulang dari medan perang, datanglah seorang wanita kulit hitam lalu berkata, "Ya Rasulullah, aku telah bernazar, iaitu kalau tuan dipulangkan Allah dengan selamat, aku akan menabuh rebana dan bernyanyi di hadapan tuan. Mendengar hal itu, Rasulullah SAW bersabda: Jika demikian nazarmu, maka tabuhlah. Tetapi kalau tidak, maka jangan lakukan.

Kesemua keterangan tersebut menunjukkan bahawa suara wanita dan perhiasan yang zahir daripadanya bukan aurat.

Rasulullah SAW juga secara praktikal pernah berbicara dengan kaum wanita seperti mana ketika menerima bai'at daripada kaum ibu sebelum dan sesudah hijrah.

Bahkan dari segi syarak, baginda tidak pernah menghalang kaum wanita untuk melaksanakan urusan jual beli, menyampaikan ceramah, mengaji al-Quran, membaca qasidah atau syair. Jika suara wanita itu dianggap aurat, sudah tentu dari segi hukum syarak dianggap haram.

Keterangan ayat al-Quran dan hadis, ditambah dengan kisah-kisah yang dapat dijadikan teladan pada zaman Rasulullah SAW dahulu seharusnya membuka mata fikir kita untuk tidak terus 'menzalimi dan menghukumi' wanita secara sewenang-wenangnya.

Khamis, 6 Ogos 2009

Erti bahagia.

SEBELUM tidur, dia selalu mengharapkan untuk tidur senyenyak yang mungkin. Selama dia tidur itulah hubungannya dengan alam sedar akan terputus. Apabila lena dalam tidurnya, dia tidak perlu memikirkan apa-apa lagi. Soal kesempitan hidup yang selalu menghenyak kehidupannya akan hilang selama dia tidur.

Suara azan Subuh bertingkah-tingkah dari beberapa buah surau dan masjid; sayup-sayup memecah hening subuh membawanya kembali ke alam nyata. Sesekali kupingnya menangkap desir halus dengkuran Milah, isterinya yang masih mengerekot dibaluti selimut yang agak kumal. Kedinginan pagi di rumah berbumbungkan zink yang mulai karat dan berdindingkan papan itu benar-benar menggigit tubuh penghuninya hingga ke sumsum.

Judin bangkit. Meskipun seluruh tubuhnya masih dialiri raksa bermalas-malasan, namun digagahkan juga. Dia perlu membersihkan dirinya dengan segera. Sebelum menunaikan kewajipannya kepada Tuhan, dia akan ke dapur untuk menjerang air.

Dia peon. Ketika mengisi borang permohonan dahulu, memang itulah jawatan yang dipohonnya. Maka, tugasnya di pejabat itu adalah berkaitan dengan hal-hal "kepeonan". Jika kakitangan lain di pejabat itu mempunyai ruang sendiri, lengkap dengan meja dan komputer, dia hanya ditempatkan di suatu sudut ruang pejabat yang luas itu. Kelengkapannya, memadailah sebuah meja kecil dan kerusi serta sebuah rak plastik kecil di atas meja itu yang tertera frasa "Surat Masuk" dan "Surat Keluar".

Majikannya seorang tokoh korporat yang dipanggil oleh semua kakitangan di situ dengan gelaran Tuan Jamali. Kali pertama dia berhadapan dengan lelaki itu ialah lima belas tahun yang lalu; ketika dia ditemu duga atas jawatan yang dipohonnya.

"Kamu seorang anak muda yang luar biasa!" puji Tuan Jamali sebaik sahaja dia memperkenalkan diri sebelum sesi temu duga dijalankan.

Tentu sahaja dia terlongo mendengar pujian itu. "Mengapa tuan?"

"Sudah tiga bulan saya mengiklankan jawatan ini, dan kamulah satu-satunya calon yang datang untuk mengisi jawatan ini," jelas lelaki yang bertubuh gempal dan bermisai tebal itu.

Betapa bersyukurnya Judin kerana diterima bekerja di situ berbekalkan Sijil Pelajaran Malaysia, pangkat tiga. Itu pun selepas dia hampir berputus asa mencari lowongan pekerjaan sejak berhijrah ke kota besar itu. Ternyata segala gambaran yang diberikan tentang kota besar itu oleh teman-teman sekampungnya yang terlebih dahulu berhijrah ke sana tidak seindah yang disangka.

Menyewa bilik, tetapi Milah berasa kurang selesa. Tidak bebas untuk membuat itu dan ini. Hendak memasak pun terpaksa berkongsi dapur. Tekaknya pun sudah naik loya memakan nasi bungkus.

Judin berdiri betul-betul di hadapan cermin lonjong yang disangkutkan pada dinding papan di ruang tamu rumahnya, rumah setinggan sederhana besar yang disewanya. Kebelakangan ini, cermin lonjong yang lazimnya digunakan oleh anak-anaknya ketika menghias rupa atau menyisir rambut itulah menjadi tempatnya membelek-belek seluruh wajahnya.

Ah, luar biasanya bekerja sebagai peon ini apa? Dia sekadar mengajukan kata-kata Tuan Jamali. Gaji sudahlah tidak sebesar mana, tapi disuruh buat itu dan ini. Pergi ke sana dan ke sini. Kadang-kadang keluar duit poket sendiri kerana satu-satunya motosikal yang dimiliki perlu juga disuap dengan minyak. Harga minyak pula naik lagi.

Sesempit

Dulu hidupnya tidaklah sesempit ini. Milah masih kuat tenaganya menjual barang-barang kegunaan harian dan kosmetik melalui jualan langsung - menyandang beg dari rumah ke rumah. Setelah beberapa tahun memerah keringat, akhirnya dapat juga Milah membeli sebuah kereta terpakai. Tidak perlu lagi berjalan kaki atau menaiki teksi.

Namun segalanya telah berubah apabila Milah disahkan menghidap tumor payu dara. Penyakit itu bukan sahaja meragut kesihatan itu, malah seolah-olah meragut kehidupannya. Bukan sahaja tidak dapat meneruskan urusan perniagaannya, malahan terpaksa pula berulang alik ke rumah sakit untuk mendapatkan rawatan. Wang simpanan Milah habis dikeluarkan. Barang-barang kemasnya digadaikan. Dan keretanya juga terpaksa dijual untuk membiayai kos rawatannya.

Pembedahan yang dilakukan untuk membuang sebelah payu daranya hanya memulihkan Milah buat beberapa ketika. Dan penderitaan Milah bertambah melarat apabila doktor mengesahkan sel-sel barah itu telah merebak ke payu daranya yang sebelah pula.

Pergerakan Milah sangat terbatas. Milah lebih banyak menghabiskan masanya terbaring di atas katil. Tubuhnya semakin melidi. Wajahnya juga semakin cengkung. Percakapannya juga tidak selancar dahulu.

"Kita minta tolong daripada adik-beradik, bang. Manalah tahu mereka boleh membantu," cadang Milah. "Dulu masa mereka belajar di universiti, abang pun tidak pernah berkira duit dengan mereka."

"Tidak mengapalah, Milah. Mereka pun baru hendak mula hidup. Abang tak mahu menjadi beban kepada mereka pula. Bukan sedikit wang yang kita perlukan. Nanti bahu abang juga yang memikul bebannya. Anak-anak kita pun masih bersekolah lagi," ujar Judin dengan suara yang tersekat-sekat dan diselang-seli oleh batuknya.

"Tinggal sahaja di sini. Lupakan Kuala Lumpur, Judin." Kata-kata ayahnya sewaktu dia pulang ke kampung kira-kira dua bulan yang lalu masih berbekas dalam ingatannya.

Hidup memang perlu sentiasa berfikir. Maka, itu jugalah yang dilakukannya. Semakin dirinya bertambah tua; semakin anak-anaknya membesar, bererti apa yang difikirkannya bertambah besar juga. Mulut anak-anaknya yang seramai enam orang itu perlu disuap dan persekolahan mereka juga perlu dibiayai.

Anak sulungnya yang kini berusia lima belas tahun juga sudah memerlukan perbelanjaan tambahan. Sudah akil baligh. Nanti anak keduanya yang kini berusia dua belas tahun juga bakal memerlukan perbelanjaan tambahan juga kalau sudah akil baligh. Nanti anak-anaknya yang ketiga dan keempat juga sama. Budak-budak sekarang mana mahu menggunakan kain buruk seperti orang dulu-dulu. Mujurlah anak kelima dan keenamnya lelaki!

Hujung bulan. Betapa beberapa hari terakhir dalam bulan-bulan masihi itu merupakan hari yang paling kritikal bagi Judin. Poket dan dompetnya akan kempis. Kalau ada wang pun, hanya beberapa ringgit; cukup untuk mengisi minyak motosikalnya. Mujur juga di kawasan tempat dia tinggal itu ada sebuah kedai runcit yang membenarkannya berhutang setiap kali hujung bulan datang. Dia tidak mahu berhutang banyak-banyak. Memadailah beberapa tin ikan sardin, beberapa bungkus ikan masin dan sekampit beras.

Adakalanya Judin berasa sangat cemburu apabila melihat pegawai-pegawai lain di pejabatnya seperti tidak pernah merasai keperitan hidup yang dialaminya. Awal bulan hingga hujung bulan tetap makan tengah hari di restoran. Malah kadang-kadang makan tengah hari di hotel. Sedangkan dia hanya makan tengah hari di warung, itu pun hanya beberapa hari dalam sebulan.

"Itulah bezanya mereka dengan kita, Judin. Kelulusan mereka tinggi, maka gaji yang dibayar setimpal dengan kepakaran mereka," kata Pak Malek, seorang pegawai keselamatan yang telah berkhidmat di syarikat itu kira-kira sepuluh tahun, selepas pencen daripada tentera.

"Itu benar. Tapi lihat sahaja kita, kerja teruk macam nak mati, tapi gajinya... ah, setiap hujung bulan pasti kesempitan wang!" rungut Judin. "Pak Malek mahu memikul senapang patah itu sampai bila? Sampai rebeh bahu? Sampai mati?" Hatinya mula dihurungi perasaan jengkel.

Lelaki yang yang sentiasa berketayap putih dan tegap berdiri di hadapannya itu sekadar menggeleng-gelengkan kepalanya. Kemudian dia menepuk-nepuk bahu Judin seraya berkata, "Judin… Judin, inilah hakikat kehidupan. Percayalah kepada qada dan qadar Allah. Dia Maha Adil. Kamu seharusnya bersyukur kerana diuji oleh-Nya. Sebenarnya, inilah jalan untuk kamu menghampiri Dia, Judin."

Mendengar kata-kata Pak Malek itu, tiba-tiba hatinya menjadi lembut. Dia percaya itu; Tuhan Maha Adil. Yang tidak adilnya manusia. Justeru, di ruang kantornya itu saban hari dia menyaksikan ketidakadilan itu. Adakalanya, dia makan hati juga dengan sikap eksekutif muda di situ - memanggilnya "Judin" sahaja. Sedangkan dia terpaksa "berencik-encik" atau "berpuan-puan" dengan mereka. Dan dia yang paling tua itu jugalah selalu diarahkan untuk membuat itu dan ini oleh mereka. Kadang-kadang, tidak sempat punggungnya panas duduk di kerusinya.

Itulah hakikat yang harus ditelannya. Hakikat seorang yang berjawatan peon di pejabat itu. "Ah, peon itu orang suruhan - macam kuli juga!" rungut Judin. Entah sudah berapa ribu kali perasaan jengkel itu menjentik hatinya.

Saban malam, Judin paling setia menemani isterinya. Sudah tiada masa lagi baginya untuk duduk bersembang-sembang di kedai kopi seperti sebelumnya. Seolah-olah hidupnya dihambakan pula kepada Milah. Milah hanya mampu berbaring, dan kadang-kadang duduk bersandar di birai katil. Kesakitan yang ditanggungnya itu seperti renjatan elektrik yang memakan tubuhnya hingga ke tulang.

Dia akan memijati tubuh isterinya itu - dari kepala hingga ke kaki walaupun sedar perbuatannya itu tidak mampu untuk menyembuhkan kesakitan Milah. Tapi sekurang-kurangnya, dia berharap pijatannya itu akan membuatkan Milah berasa lega dan bahagia.

"Maafkan abang kerana gagal membahagiakan Milah," ujar Judin dengan suara yang terputus-putus. "Sedangkan Milah sakit begini, abang tidak mampu untuk membiayai kos pembedahan Milah."

Bahagia

"Sudahlah, bang. Milah tetap bahagia. Milah bahagia punya suami yang tabah dan setia seperti abang. Setiap malam abang ada di sisi Milah ialah ubat yang paling mujarab untuk Milah. Terima kasih, bang," balas Milah.

Ketika Milah sudah lama hanyut dalam mimpinya, mata Judin masih membulat. Baringnya serba tidak kena. Sekejap dia mengiringkan badannya ke kanan, sekejap dia mengiringkan badannya ke kiri, dan kemudian dia terlentang pula. Tetapi matanya tidak juga mahu terpejam.

Dia mengakui kebenaran kata-kata Pak Malek. Anak-anaknya tidak ada seorang pun yang tunaaksara. Anaknya yang sulung kini berada dalam kelas pertama dalam alirannya. Anak keduanya juga begitu. Sebenarnya, kedua-dua anaknya itu layak untuk bersekolah di sekolah berasrama penuh. Disebabkan kesempitan hidup, dia mengambil keputusan untuk menyekolahkan anaknya di sekolah menengah biasa sahaja.

"Tapi kadang-kadang, saya berasa berdosa juga kepada mereka, Pak Malek. Yalah, saya tidak mampu memenuhi keperluan mereka seperti orang lain. Duit yang saya beri, kadang-kadang hanya cukup buat tambang bas sahaja."

"Pernah mereka marah? Merungut?" soal Pak Malek.

Dia menggeleng.

"Nah, bersyukurlah! Itu tandanya anak-anak kamu mengerti akan kesusahan dan kesempitan kamu, Judin," balas Pak Malek. "Kalau mereka pandai memberontak, bagaimanakah keadaan kamu? Tentu lebih teruk daripada sekarang ini." Judin diam.

"Banyakkanlah beribadat dan berdoa kepada Allah, Judin. Dekati-Nya dan dekati rumah-Nya. Percayalah, Dialah Yang Maha Mengetahui akan sesuatu," pesan Pak Malek.

Detik itu akhirnya datang juga. Milah telah kejang di pembaringannya. Judin tidak dapat menahan sebaknya. Egonya sebagai seorang lelaki akhirnya tumpas, apatah lagi apabila melihat anak- anaknya menangisi pemergian Milah.

Orang pertama yang dihubunginya ialah Pak Malek, kemudian baharulah dia menghubungi ahli keluarganya yang lain. Dengan bantuan Pak Malek, akhirnya jenazah isterinya selesai disempurnakan.

Setelah semua tetamu yang diundangnya dalam majlis tahlil untuk arwah Milah pulang, Judin duduk di ruang tamu sambil menyandarkan badannya pada dinding. Dia ingin berehat seketika. Badannya benar-benar letih dan lesu. Biarlah anak perempuan sulung dan keduanya sahaja yang mengemas pinggan mangkuk di dapur.

"Pulang sahaja ke kampung, Judin. Sekurang-kurangnya, anak-anak kamu tu boleh emak kamu tengokkan," kata ayahnya.

"Buat masa ini saya belum terfikir soal itu lagi, ayah. Biarlah saya di sini dahulu. Tidak tergamak untuk saya meninggalkan Milah bersendirian di sini," ujar Judin.

"Milah sudah meninggal dunia, Judin. Fikirkanlah tentang anak-anak kamu itu. Anak-anak kamu itu cucu-cucu aku, Judin. Aku tidak mahu mereka terabai," tegas ayahnya.

"Saya masih hidup. Biarlah saya membesarkan mereka dengan tangan saya sendiri. Saya tidak mahu melepaskan beban ini kepada ayah dan emak pula," balas Judin. Pendiriannya seperti akar tunjang yang telah memasak bumi, tidak boleh digoyah-goyah lagi.

Sudah lebih empat puluh hari Milah pergi. Hidupnya semakin tidak keruan semenjak ketiadaan Milah. Dia terpaksa menguruskan anak-anaknya, dan kemudian mengurusi dirinya sendiri. Setelah beberapa lama melalui situasi itu, akhirnya dia akur bahawa dia telah tewas. Tekanan yang dihadapinya di tempat kerja terbawa-bawa hingga ke rumah. Anak-anak sering menjadi sasaran kemarahannya. Akibatnya, anak perempuan sulungnya telah melarikan diri dengan kenalan lelakinya; lesap entah ke mana. Anaknya perempuannya yang kedua pula selalu ponteng sekolah kerana terpaksa menjaga adik-adiknya di rumah.

"Saya kalah, Pak Malek. Saya tidak kuat lagi…." Judin melepaskan apa yang tergumpal di dadanya kepada Pak Malek.

Pak Malek menepuk bahunya beberapa kali sambil tersenyum. "Kamu belum kalah lagi, Judin. Ini ujian untuk kamu. Bersabarlah. Pulang sahaja ke kampung. Saya percaya, ayah dan emak kamu masih menanti kamu."

Judin mengangkat mukanya, merenung tepat bebola mata Pak Malek yang jernih dan bersinar. "Tapi, Pak Malek…."

"Pulang sahaja," potong Pak Malek.

Akhirnya Judin akur. Sebelum pulang ke kampung, Judin menziarahi pusara isterinya bersama lima orang anaknya. Anaknya yang sulung masih belum ketentuan khabar beritanya walaupun sudah diiklankan di surat khabar akan kehilangannya. Judin membaca doa di pusara isterinya dengan suara yang terputus-putus. Doanya itu diaminkan oleh anak-anaknya.

SITI NUR HIDAYAH AL - HANEESAH
20 JANUARI 2006.






Isnin, 27 Julai 2009

LAGU KEBANGSAAN JEPUN

KIMI GA YO WA,
CHIYO NI YACHIYO NI,
SAZARE ICHI NO,
IWAO TO NARITE,
KOKE NO MUSU MADE.


Jangan anda hairan dengan lagu ini. Inilah lagu Kebangsaan Jepun. Di Jepun inilah ibu Hidayah, Datin Dayangku Fatimah Makiko Ohsugi dilahirkan. Tengok rupa paras muka pun sudah tahu yang dia ialah bangsa kacukan Melayu - Jepun.

Khamis, 16 Julai 2009

ALLAHYARHAM SITI NUR HIDAYAH AL - HANEESAH





CUTENYA.....................


Teka - tekalah di mana Siti Nur Hidayah Al - Haneesah berada nie...........


JAWAPANNYA: Dia sebenarnya berada di Guangzhou, China.



Cantik dia kan.........

Isnin, 13 Julai 2009

Mengungkapkan makna bangsa merdeka.

SUDAH lebih tiga tahun Nusantara kehilangan pengarangnya yang agung - Pramoedya Ananta Toer.Pram merupakan satu-satunya penulis Asia Tenggara yang berkali-kali namanya dicalonkan untuk Hadiah Nobel Sastera.

Namun sayang, beliau meninggal ketika belum sempat dinobatkan menerima hadiah sastera yang paling berprestij di dunia itu. Tetapi kata-kata yang pernah ditulisnya dalam lebih 50 buah hasil karya dan telah diterjemahkan ke dalam lebih 39 bahasa akan terus menusuk kalbu kita sampai bila-bila.

Pram mempunyai pengalaman hampir 20 tahun sebagai tahanan politik tanpa bicara di Penjara Bukit Duri (tempat Pram menghasilkan Perburuan yang kemudiannya memenangi hadiah pertama sayembara Balai Pustaka 1949), Penjara Cipinang, Pulau Nusa-kambangan, Pulau Buru dan Magelang/Banyumanik.

Romannya yang pertama, Kranji-Bekasi Jatuh yang merupakan fragmen dari Di Tepi Kali Bekasi diterbitkan oleh The Voice of Free Indonesia tempat di mana dia bekerja pada tahun 1947. Selepas itu tidak putus-putus Pram menghadiahkan kita dengan buah tangannya yang berbicara jauh ke dalam hati nurani bangsa Nusantara.

Dalam sepucuk suratnya ketika masih menjadi tahanan di Pulau Buru yang termuat dalam edisi kedua surat-surat dari Pulau Buru berjudul Catatan-Catatan peribadi Pramoedya Ananta Toer dari Tahanan Pulau Buru yang belum pernah diterbitkan, Pram mencatatkan tentang dirinya sebagai penulis sekitar tahun 1950-an: "Aku bekerja siang dan malam, dan kerap pergi dengan ibumu nonton filem. Seperti orang gila, aku terus bekerja, seperti gunung memuntahkan lava. M. Balfast berkata kepadaku, ketika kami kebetulan bertemu: tidak ada lagi tulisan yang bisa kau kerjakan, Pram, ini sampah biasa, aku menjadi seorang penulis yang gagal . Aku harus melupakan dedikasi yang pernah dituliskan Han (Resink) kepadaku dalam puisinya Het koraaldier."

Betapa banyak karya tulisnya yang tidak sampai kepada kita kerana hilang di tangan penerbit seperti Sepoeloeh Kepala Nica (1946) yang pernah diserahkan kepada penerbit Balingka, Pasar Baru. Naskhah Mari Mengarang (1955) yang pernah diserahkan kepada penerbit Jalan Kramat Raya, Jakarta juga tidak diterbitkan dan begitulah juga nasib naskhah Lentera (1965) yang pernah diserahkan kepada penerbit di Jalan Pecenongan, Jakarta serta Oroh, Ratusanagara (1974) yang tidak jelas nasibnya di tangan Komando Inrehab Pulau Buru. Malah tulisan-tulisannya semasa SD yang pernah ditawarkan kepada penerbit Tan Koen Swie, Kediri juga hilang. Dan berapa banyak pula manuskrip yang lupus dibakar Angkatan Darat pada 13 Oktober 1965 iaitu Panggil Aku Kartini Saja III & IV, Kumpulan Karya Kartini, Wanita Sebelum Kartini, Gadis Pantai II & III dan Sejarah Bahasa Indonesia: Satu Percobaan.

Karya besarnya yang lebih dikenali dengan Tetralogi Buru ditulis ketika dalam buangan di Pulau Buru yang terdiri daripada empat bahagian bermula dengan Bumi Manusia, Anak Semua Bangsa, Jejak Langkah dan diakhiri dengan Rumah Kaca. Namun masing-masingnya boleh berdiri sendiri sebagai sebuah novel sejarah yang berlatarkan tahun 1898 hingga 1918 yang hampir- hampir tidak disentuh oleh sastera Indonesia.

Baik

Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh ketika menyebut tentang Pram, beliau menamakan novel Gadis Pantai sebagai sebuah karya yang baik dan mesti dibaca hasil buah tangan pengarang yang mendapat jolokan Albert Camus Indonesia ini. Selain itu, Pram juga pernah digelar sebagai Sasterawan Jurubicara Revolusi Kemerdekaan. Gadis Pantai pertama kali diterbitkan secara bersiri dalam akhbar Lentera/Bintang Timur pada tahun 1962-65. Savitri Prastiti Scherer dalam kajian ijazah Doktor Falsafah di Australian National University, Canberra yang berjudul From Culture to Politics - The Writings of Pramoedya Ananta Toer, 1950-1965 turut mengakui kehebatan novel ini, "Novel ini (Gadis Pantai) adalah antara karya Pramoedya yang terbaik, yang lebih hebat dari karya klasiknya, Perburuan, Keluarga Gerilya dan Bukan Pasar Malam."

Antara karya-karya terakhir Pram yang diterbitkan dalam setahun dua sebelum pemergian beliau ialah sebuah karya sejarah berjudul Jalan Raya Pos, Jalan Daendels dan juga himpunan tulisan-tulisan awal beliau yang memperlihatkan gaya penulisannya ketika masih di permulaan sebagai pengarang dibukukan dalam Menggelinding 1. Jalan Raya Pos, Jalan Daendels

Tentang negara dan bangsanya sendiri, Pram menyatakan, "Indonesia adalah negeri budak. Budak di antara bangsa dan budak bagi bangsa-bangsa lain." Atau dalam kenyataan yang lain, Pram pernah menyebut, "Indonesia sekarang dalam proses membusuk." Kerja paksa pembinaan jalan raya yang panjang ini mengingatkan kita kepada tragedi korban jiwa manusia yang tidak kurang hebatnya yang pernah berlaku di tanah Asia sebelah sini, dikenali dengan pembinaan landasan kereta api maut. Landasan kereta api dari Thailand ke Burma sepanjang 415 kilometer itu menghubungkan Stesen Tha Rua Noi ke Stesen Thanbyuzayat, yang merupakan antara kerja paksa arahan tentera Jepun di zaman Perang Dunia Kedua.

Pramoedya mengakhiri hari tuanya dengan berkebun sukun, betik, jagung, pisang serta pelbagai lagi dan membersihkan persekitaran rumahnya dalam kawasan tanah seluas lebih setengah hektar di Bojong Gede, Bogor.

Di samping itu beliau juga menyusun Ensiklopedia Kawasan Indonesia sebagai buah tangan terakhir untuk tatapan bangsanya tetapi sebagai seorang tua kesihatannya mengendalakan penyusunan karya terakhir itu. Namun setelah lebih tiga tahun kematian beliau, kita masih tidak pasti tentang nasib karya besar itu sama ada sempat disudahi atau tidak. Pram, yang ketika remajanya pernah bercita-cita ingin menjadi jurutera akhirnya telah melekat di hati kita namanya sebagai antara pengarang terbaik yang pernah dimiliki bumi Nusantara. Karya-karyanya akan terus hidup di dalam jiwa dan nurani masyarakat Nusantara serta Pram akan terus dikenang sebagai seorang pengarang agung yang sukar dicari ganti.

Jumaat, 19 Jun 2009

SULTAN YANG DISAYANGI DAN DISANJUNGI RAKYAT.

http://tbn0.google.com/images?q=tbn:_qCk7npuwbLggM:http://cache.daylife.com/imageserve/03oN9fDbqf6IZ/610x.jpg

Allahyarhamah amat meminati sultan dan pemerintah sendiri, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah Ibni Almarhum Sultan Omar Ali Saifuddien Saadul Khairi Waddien.

BRUNEI DARUSSALAM, TANAH YANG DICINTAI.......................

http://www.asiawaves.net/brunei-radio-map.jpg

Anda lihatlah peta ini, pernahkah anda melihat yang di tepi kiri anda, itulah Kuala Belait, tak jauh dari Bandaraya Miri kan, inilah tanah kelahiran kanak - kanak istimewa ini.

Jumaat, 29 Mei 2009

ALLAHYARHAM SITI NUR HIDAYAH AL - HANEESAH.

Nama sebenar Allahyarham ialah Dayangku Siti Nur Hidayah Al - Haneesah Madyani Ohsugi Binti Datuk Haji Pengiran Hasnan Al - Hanis. Dia dilahirkan di Pusat Kesihatan Gadong, Mukim Gadong, Bandar Seri Begawan, Negara Brunei Darussalam. Dia merupakan seorang sasterawan termuda di Brunei Darussalam. Allahyarhamah sebenarnya seorang kanak - kanak yang bermasalah, tetapi cerdik dan sangat "Hyperactive girl". Allahyarham dinobatkan sebagai seorang Sasterawan Termuda pada 14 mei 2005 yang pada ketika itu, umurnya baru sahaja 10 tahun. Allahyarham bersekolah di sekolah St. James School di Kuala Belait, Negara Brunei Darussalam. Di sekolahnya, dia telah memenangi tempat sebagai kanak - kanak perempuan tercantik di Kuala Belait.



Seorang yang suka bermain basketball. Percayakah anda, yang Hidayah ini tidak suka akan barang - barang permainan perempuan?. Sebenarnya, dia suka akan permainan - permainan yang ke arah kelelakian.




Allahyarham suka makan - makanan laut dan suka meminum air Kopi. Kalau diikutkan, kanak - kanak tidak boleh sebenarnya meminum air Kopi, tetapi dia suka?.





Allahyarham meminati kartun - kartun animasi dari Jepun. Antara kartun animasi Jepun kegemarannya ialah Card Captor Sakura. Perangai Allahyarham amatlah nakal, tetapi jasanya dalam kesusasteraan Melayu Brunei amatlah dihargai, sungguhpun usia perjuangan terlalu muda. Hobi Allahyarham ialah bermain internet dan sepanjang hidupnya, Allahyarham menghabiskan masanya dengan menghafal semua buku - buku yang ada di rumahnya.





Allahyarham ialah anak ke 3 dalam 4 adik beradik dan merupakan adik - beradik kembar kepada Siti Muneerah Al - Haneesah Isnani Ohsugi Binti Datuk Haji Pengiran Hasnan Al- Hanis.