DIA nampak desa terpingitnya berbalam-balam di antara daerah perbukitan yang maha jauh. Di sebalik daerah perbukitan itulah dia masih nampak rumah usang yang ditinggalkan. Sekian lama. Ya, sekian lama.
"Ibu hak milik kekal. Kau perlu turut kata ibu!"
"Itu pasti! Aku berada di dalam perut ibu sekian lama. Hanya ibu yang itu, itu sahaja. Bukan ibu lembu atau ibu kambing. Ibu yang itu, itulah. Tidak ada dua. Tidak ada tiga..."
"Kau pasti akan meninggalkan kampung ini?"
"Begitulah... kerana aku menurut kata ibu. Kata ibu, carilah ayah di sana..."
"Walaupun kau tidak pasti ke manakah harus kau tuju?"
"Bukan tidak pasti. Tanah jantung pisang itu memang pasti tujuanku. Hanya daerahnya tidak kuketahui..."
"Dan kau tinggalkan gadis manis yang kau pernah sayangi itu sendirian?"
"Kohila?"
"Bukankah kata ibu..."
"Ah, alasan!"
"Bukan beralasan, kawan. Semuanya kerana ibu. Aku kecaikan kasihku kerana ibu. Biarlah... biarlah. Bukankah lebih baik menurut kata ibu daripada membantah? Bukankah amat prihatin ibu memelihara kita sejak dari dalam perutnya yang membusung, dibawa ke sana ke mari, mungkinkah itu perut lembu atau perut kambing? Tidak bukan? Itu perut ibu. Perut yang itu, milik ibu yang itu juga!"
Di bawah, kenderaan menjalar malas. Bentuk kenderaan tetap mengembang. Apakah atas pengaruh vodka? Atau kerana kuasa samsu haram yang dibekalkan dari estet kepala sawit itu? Atau sebenarnya, matanya sudah mulai kabur? Selaput yang melapisi retinanya semakin menebal? Dan apabila selaput itu semakin menebal bermakna pandangannya semakin kabur dan terus kabur? Sekabur masa depannya yang kini benar-benar tidak memiliki apa-apa?
Ah. Nasib malang datang bergulung-gulung seperti ombak yang membedal perahu hidupnya. Seperti tatkala dia pergi ke pantai, dan tiba-tiba angin keras menerjah. Dan tiba-tiba kesengsaraan terasa membedal perahu hidupnya sehingga habis punah lantai, dinding dan kerangka perahu berkecai sekecai-kecainya. Nasib malang datang menyerang seperti taufan yang menerbangkan perniagaan warisan. Seperti garuda yang menerbangkan lambang kejayaan keluarganya bertapak di daerah jantung pisang ini, terbang dan lesap dalam sekelip mata. Ya, dalam sekelip mata sahaja!
Nasib malang.
Dia yakin kepada dua perkataan itu. Sejak mula dia berhijrah lagi. Sejak mula dia mahu meninggalkan desa yang kini sudah jauh amat. Sesungguhnya dia tidak menduga nasib malang itu berulang lagi seperti sebelum dia meninggalkan desa.
Dahulu, dia tidak punya pekerjaan tetap tetapi dapat menyimpan sedikit rupee. Suatu ketika dia sudah nekad mahu tinggal di desa sampai hari tua menjelma. Kata ibunya, keluarga Kohila sudah merancang untuk mempertemukan jodoh. Dan ibunya pun berusaha mengintai gadis manis yang diberi nama Kohila itu tetapi tiba-tiba kecewa kerana tumit kaki Kohila tidak berkematu. Kata adat, itu tandanya Kohila tidak kuat bekerja. Hal itu pantang bagi ibunya. Maka, sumbu kasihnya terhadap Kohila terpaksa dipadamkan dengan segera walaupun baginya semua itu hanya kepercayaan dan adat kaumnya sahaja.
Kepercayaan.
Adat.
Adat.
Kepercayaan.
Kepercayaan dan adat memang masih menebal dalam dirinya.
"Walaupun kau sudah berjauhan nanti, jangan lupa adat kita. Jaga," pesan ibunya.
"Dan kepergianku ini... meninggalkan desa yang bertanah merekah, meninggalkan keterikan matari yang membahang dalam tempoh memanjang... meninggalkan ibu juga, apakah wajar dipanggil adat?"
"Bukankah hidup ini suatu perantauan? Ayahmu juga seorang perantau. Pada masa itu kau masih kecil lagi. Katanya, benua kecil ini sudah semakin sesak untuk dihuni."
"Tapi, betulkah begitu ibu?"
"Ibu mengerti maksud tersirat di sebalik cakapan ayahmu. Tanah di desa kita seolah-olah semakin tidak berharga dan kering kontang. Merekah sepanjang tahun. Hujan pun seperti enggan mahu turun walaupun diseru untuk segera turun. Pokok apakah yang boleh dan betah hidup tanpa air? Dan tubuhmu, sekujur tubuhmu pun semakin melidi tanpa menunjukkan ada tanda-tanda mahu jadi seorang anak muda yang gagah dan tampan."
"Bukankah kegagahan dan ketampanan seseorang berada di dalam dirinya, di dalam hatinya, bukan pada susuk tubuhnya, ibu?"
"Itu katamu, anakku. Bukankah sekarang semua orang memandang apa yang dapat dipandang? Mukamu, cuba lihat mukamu cengkung amat. Sekujur tubuhmu pun kering amat. Hanya tulang-tulang yang menonjol tanpa daging. Apakah kau tidak mahu menurut jejak ayahmu, anakku? Tidak mahu pergi merantau?"
"Itu juga adat?"
"Turutan ... kebiasaan. Seorang anak perlu mengikut apa yang dilakukan oleh orang tuanya. Faham?"
Angguk.
"Kita tidak perlu meratap atau berdukacita dengan mengenang masa silam kita, anakku. Ingat pesan ibu. Kita hidup untuk masa hadapan, bukan untuk masa silam. Ingat tu?"
Angguk.
Ah! Anggukan silam hanya tinggal seperti caing-caing awan yang diranggas ribut waktu. Anggukan itu telah menjadi masa silamnya.
"Kau perlu jadi ikan ubi buta."
"Kenapa, ibu?"
"Ikan itu selalunya hidup dengan udang hantu di dalam lubang yang dikorek oleh udang."
"Maksud ibu?"
"Dalam hidup kita mesti saling membantu. Di sana, kau akan jumpa banyak bangsa. Mereka hidup aman dan bekerjasama. Jadi, kau jangan pentingkan diri sendiri."
Tapi, benarkah? Benar atau tidak benar, dia telah melaluinya kini. Untuk berkata serik, semuanya sudah terlambat. Untuk berkata tidak, semuanya telah berlaku.
Sudah berhari-hari dia dalam keadaan begitu - gelisah dan mabuk. Mabuk dan meracau tak menentu. Hanya satu hasratnya: Melakukan pengorbanan. Mesti!
Hampir setahun dulu dia datang dengan semangat juang yang tinggi. Darah mudanya meruap-ruap apabila diberitahu ayahnya masih hidup. Memiliki dua buah restoran. Beroperasi dua puluh empat jam. Dan dia dapat merasakan otak ayahnya tidak pernah berhenti untuk berfikir dan berfikir sebagaimana restorannya yang beroperasi terus walaupun hari berganti nama.
Perantau
Tak sampai setahun dia menjadi anak yang berbangga mempunyai seorang ayah - seorang perantau yang berjaya bukan di tanah tumpah darahnya. Tak sampai setahun. Ayahnya dikatakan mati mengejut semasa dia mendalami bacaan al-Quran di rumah Haji Sham.
"Kelahiran kita dari rahim ibu ke rahim dunia. Pelbagai cabaran perlu dilalui. Pelbagai pengajaran perlu ditekuni dan diteliti. Ingatlah. Hidup tak seindah yang diimpikan..."
"Tapi... nilai kehidupan ini berbagai-bagai, ustaz. Itu yang dapat saya perhatikan..."
"Betul. Itu pemerhatian dengan mata kasar. Cuba renungkan erti hidup dan mati dengan mata batin. Mula-mula manusia sebenarnya mati. Kemudian dihidupkan. Kemudian dimatikan. Kemudian dihidupkan buat selama-lamanya. Sekarang kita berada pada fasa yang mana? Kehidupan yang mana lebih bermakna buat kita? Cuba... cuba merenung ke dalam..."
Hidup perlu diteruskan. Anjakan jarum membawa erti perlu beranjaknya pola pemikiran yang dipengaruhi oleh pengalaman, pengetahuan, kemahiran dan kesedaran yang ada. Pun begitu, hari-hari selepas itu hidupnya terasa amat terseksa. Bukan sekadar gelombang yang menyerupai naga atau jerung yang mahu menelannya tetapi lebih dahsyat daripada itu.
Hidup ini pilihan yang ditentukan. Dia berasa dia boleh memilih tetapi bukan ketetapan hidupnya ditentukan sendiri. Baginya, kehendak sendiri tidak dapat ditunaikan. Tapi, kehendak Tuhan juga yang diturutkan.
Dalam seminggu dua, urusan restoran tidak dapat diselesaikan. Mana untung, mana modal, semuanya lesap secara tiba-tiba.
Menurut seorang pekerja, rakan kongsi ayahnya telah kabur sebelum sempat dia bertanya itu ini. Cuma yang dimaklumkan kepadanya, rakan kongsi itulah yang telah memanipulasi kepercayaan mendiang ayahnya dengan mengaut keuntungan sendiri tetapi bersandarkan hutang kepada ... a-l-o-n-g.
Jahanam!
Nun di bawah, ayahnya begitu galak melambai-lambaikan tangan. Dia juga nampak ibunya, melambai dan Kohila juga melambai.
"Kita mati dua kali dan hidup pun dua kali..."
"Maksud ustaz?"
"Semua manusia asalnya tiada. Mati. Tiada jasad, tidak ada fizikal. Dalam alam tersebut, roh dan jasad kita belum bersatu. Tiada fizikal tetapi roh telah sedia. Hanya Dia Yang Maha Mengetahui segala rahsia dan kejadian kita..."
"Jadi ustaz, sekarang saya berada pada kehidupan yang pertama? Ketika ini roh telah bersatu dengan jasad, dan terbentuklah fizikal begini?"
"Ya, begitulah. Kehidupan pertama ini sebenarnya bersifat sementara. Ingat, Nabi Adam a.s. hidup lebih seribu tahun, tapi akhirnya wafat juga. Fana. Lihatlah. Pokok yang berasal dari biji benih, akhirnya kering dan tumbang. Mereput... masuk ke dalam bumi kembali. Begitulah riwayat kehidupan yang sememangnya menuntut pelbagai pengorbanan."
Allahu Akbar Allahu Akbar!
Allaaahu Akbar Allaaahu Akbar!
"Astaghfirullah. Aku memohon ampun dan bertaubat kepada-Nya. Ustaz Sham. Hampir saja saya tergelincir..."
Ketika dia menghempaskan botol di tangan kirinya, dia benar-benar telah tergelincir. Terasa benar ajalnya sudah hampir. Dia tersangkut di tingkat 11. Dia hanya mengharap kekuatan tangannya untuk berpaut selama mana yang dia mampu. Dia sudah mengucap beberapa kali. Dia reda kalau ditakdirkan dia mati begitu walaupun niatnya sudah diundurkan. Tetapi entah mengapa dia masih terus berdoa.
Tiba-tiba dia terdengar ada suara riuh-riuh di tingkat 10.
Lailahaillallah!