Khamis, 29 Oktober 2009

Neraka buat Abu Lahab, Ummu Jamil

PADA suatu masa di Kota Mekah, di satu kawasan yang dikenali Shafa yang tidak berapa jauh dari Kaabah, tinggal sepasang suami isteri di sebuah rumah yang sentiasa dihias cantik dan lebih mewah berbanding jiran-jirannya yang lain.

Namun rumah pasangan ini sentiasa tertutup pintu dan tingkapnya yang memberikan gambaran penghuninya mempunyai sifat dengki, tamak haloba, sombong dan egoistik.

Pasangan suami isteri itu tidak lain tidak bukan ialah Abu Lahab dan isterinya, Ummu Jamil.

Nama sebenar Abu Lahab ialah Abdul Uzza, putra tokoh Quraisy yang disegani, Abdul Mutalib yang juga saudara tokoh-tokoh yang disegani di kalangan kaum itu iaitu Abdullah, Abu Talib dan Abbas.

Akan tetapi, Abu Lahab memiliki sifat yang tidak sama dengan saudara-saudaranya itu, baik dalam hal kesopanan, keberanian mahupun yang lain. Abu Lahab (perkataan Arab yang bermakna mempunyai kulit yang putih dan cerah) mungkin kebetulan boleh disamakan dengan perkataan Melayu kita 'lahab.'

Ini kerana Abu Lahab memang terkenal sikap rakus dan tamak dalam banyak hal. Perbuatan beliau yang dianggap paling melampaui batas apabila Abu Lahab dikatakan pernah mencuri emas-emas yang terdapat di Kaabah.

Isterinya, Ummu Jamil juga seorang yang ego, suka berdengki dan pelbagai perangai buruk yang lain. Sifat-sifat buruk itu sebagai menutup kekurangan yang ada pada dirinya, iaitu sebelah daripada matanya, buta.

Cacat pada matanya itu membuatkannya selalu merasa iri kepada sesiapa sahaja.

Sehinggalah pada suatu Subuh yang hening, Ummu Jamil hampir-hampir bergaduh dengan suaminya apabila tidur mereka terganggu dek satu suara yang melaung-laung dan memanggil orang ramai untuk berkumpul.

Abu Lahab begitu memarahi isterinya kerana dia masih mahu tidur dan pening kerana mabuk.

"Celaka aku keranamu wahai perempuan jahat!" kata Abu Lahab terhadap isterinya itu.

Lalu dibalas juga oleh Ummu Jamil dengan kata-kata yang kesat. "Aku pun celaka kerana kau wahai pemalas yang suka tidur! Demi kebenaran berhala, jika kamu tidak memberitahuku (siapa yang melaung-laungkan suara itu) nescaya tidak akan ku biarkan kamu tidur dengan tenang walau sekejap!" katanya.

Akhirnya Abu Lahab bingkas bangun dan mahu menyertai perhimpunan setelah beliau dapat mengenalpasti suara yang memanggil-manggil itu iaitu tidak lain tidak bukan anak saudaranya sendiri, Nabi Muhammad.

"Pasti itu Muhammad yang memanggil kita kerana ada suatu hal yang penting," kata Abu Lahab.

"Barangkali ada harta yang akan diberi olehnya kepada kita," sampuk Ummu Jamil.

Abu Lahab pun segera menyertai anak saudaranya yang ketika itu telah berada di atas Bukit Safa dan menyeru kepada seluruh yang hadir.

"Apakah kamu akan percaya seandainya ku katakan kepadamu bahawa seekor keldai telah keluar dari kaki bukit ini?" teriak Nabi Muhammad kepada semua yang hadir.

"Kamu tidak pernah mendustai kami, kami mempercayai kamu!" ujar mereka hampir serentak.

Lalu Nabi Muhammad pun berkata; "Sesungguhnya aku adalah seorang pemberi peringatan kepadamu sebelum kamu menghadapi azab yang pedih!"

Abu Lahab yang mendengar kata-kata anak saudaranya itu terus pergi meninggalkan kaki Bukit Safa itu dengan marah-marah.

Abu Lahab sangat marah lalu berteriak dengan suara yang nyaring; "Celakalah kamu untuk selama-lamanya. Hanya untuk itukah kamu kumpulkan kami di sini?".

Daripada peristiwa inilah, Allah mengutuk Abu Lahab kerana sikapnya yang degil dan begitu memusuhi Islam dengan diturunkan-NYA surah al-Masaad (Bernyala-nyala), ayat 1 hingga 5, bermaksud: Binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab dan sesungguhnya dia akan binasa. Hartanya dan segala yang diusahakannya tidak dapat menolongnya. Dia akan masuk ke dalam api neraka yang marak menjulang. Dan juga isterinya (Ummu Jamil) seorang pemunggah kayu api. Dilehernya ada tali daripada tali-tali yang dipintal daripada sabut.

(Sesetengah riwayat mengatakan ayat itu diturunkan sebagai mengecam tindakan Ummu Jamil yang suka menyakiti Rasulullah di kemuncak penentangan pasangan suami isteri ini terhadap baginda)

Setibanya di rumah, Abu Lahab disambut oleh isterinya yang kehairanan melihat kepulangan suaminya itu.

"Celakalah kamu wahai perempuan! Mengapa aku harus lama di sana. Kalau yang aku dapat hanyalah si Muhammad yang hendak mengajak kita semua supaya menerima ajaran baru dia itu," jawab Abu Lahab.

Mereka suami isteri semakin tidak senang duduk dengan perkembangan Islam yang semakin diterima oleh masyarakat Arab Quraisy. Mereka menjadi semakin dengki namun tahukah anda apakah faktor sebenarnya yang menjadikan mereka begitu benci kepada Islam?

Adakah semata-mata kerana menyembah berhala itu satu ajaran yang sangat mulia dan mesti dipertahankan?

Kata Abu Lahab kepada Ummu Jamil: "Kini kita perlu sedar setelah melihat kenyataan yang terjadi. Bahayanya mengenai Islam semakin diterima ramai apabila tidak akan ada lagi utusan atau orang Arab yang akan datang untuk mempersembahkan korban mereka kepada berhala-berhala kita.

"Kita tidak akan mendapat manfaat dengan seruan (Islam) Muhammad itu. Bukankah demikian wahai Ummu Jamil?" kata Abu Lahab.

Ternyata merekalah yang selama ini berkongsi hasil daripada penyembahan dan segala macam objek yang dijadikan korban kepada berhala-berhala.

Bukan kerana mempertahankan agama nenek moyang seperti yang selalu mereka laung-laungkan.

Sejak itu mereka suami isteri sentiasa berusaha untuk menyekat perkembangan Islam secara lebih serius.

Ini termasuklah Abu Lahab akan mengekori anak saudaranya yang keluar untuk menyampaikan dakwah Islamiah dan kemudian akan memburuk-burukkan Nabi di hadapan orang ramai dengan pelbagai kata yang menghina dan menyakitkan hati.

Sementara apa yang dilakukan oleh Ummu Jamil adalah lebih dahsyat lagi. Setiap hari beliau akan keluar untuk mengumpulkan kayu-kayu yang tajam dan penuh duri untuk ditaburkan di hadapan rumah dan sepanjang jalan yang sering dilalui oleh Nabi Muhammad.

Dikatakan tidak ada ruang sedikit pun di permukaan jalan tersebut kecuali semua penuh dengan duri yang pelbagai bentuk yang menyebabkan tanpa baginda sedari, baginda akan terpijak dan melukakan kakinya.

Maka itulah yang dilakukan oleh Ummu Jamil setiap hari kerana dia merasakan satu kebahagiaan dan kepuasan yang luar biasa setiap kali meletakkan duri-duri itu dan menyakiti anak saudaranya itu.

Untuk bertindak lebih jahat, dia kemudiannya melaksanakan satu lagi misi terhadap Rasulullah dan kali ini melibatkan hubungan kedua-dua buah keluarga.

Ummu Jamil segera menemui anaknya, Uthbah yang mengahwini anak perempuan Rasulullah yang bernama Ruqayyah dan seorang lagi anaknya, Mukhtab yang juga berkahwin dengan seorang lagi anak perempuan baginda yang bernama Ummu Kalsum.

Benar, Abu Lahab dan isterinya itu selama ini bukan sahaja mempunyai hubungan bapa saudara dan anak saudara dengan Nabi Muhammad malah mereka sebenarnya adalah berbesan.

Dek kerana bencinya Ummu Jamil terhadap besannya itu, beliau kemudiannya memaksa anak-anak lelakinya itu supaya menceraikan isteri masing-masing. Sehingga ke tahap itu sekali sehingga sanggup memutuskan hubungan yang suci semata-mata memenuhi nafsu syaitannya itu.

Pastinya Uthbah dan Mukhtab tidak dapat memenuhi kehendak ibu mereka yang melampau itu kerana selama ini mereka tidak menghadapi sebarang masalah dan bahagia dengan pasangan hidup masing-masing.

"Baiklah, jika itu keputusan kalian ibu akan pergi Kaabah dan akan bersumpah di hadapan berhala-berhala yang ada di situ, bahawa kamu semua bukan anak ibu lagi kerana kamu telah derhaka!" ancam Ummu Jamil.

Walaupun terkejut namun demi seorang ibu, mereka terus menemui bapa mertua, Nabi Muhammad.

Lalu melafazkan di hadapan baginda; "Mulai saat ini, kami menceraikan puteri-puteri anda yang kami kahwini selama ini dan mula menentang agama yang anda cuba sebarkan demi maruah berhala-berhala yang mulia!"

Rasulullah yang terkejut dengan tindakan menantu-menantu baginda itu tidak mampu melakukan apa-apa kecuali berdoa moga balasan yang setimpal ditimpakan terhadap keluarga Abu Lahab ini.

Ummu Jamil benar-benar bersorak kegembiraan atas tekanan demi tekanan yang beliau lakukan terhadap Rasulullah.

Namun semua itu masih tidak menghentikannya daripada terus menyakiti Rasulullah. Sehingga di akhir hayatnya, Ummu Jamil dalam usia lanjut akhirnya menemui ajal kerana keletihan menaburkan duri-duri di atas jalan bagi melukakan Nabi Muhammad itu.

Kisah Abu Lahab dan keluarganya ini merupakan kisah yang dikutip dari sebuah buku lama yang bertajuk Profil Di Balik Cadar - Kisah Wanita Dalam al Quran, karya Jabir Asy-syal (terbitan tahun 1986). Penulis memegang ijazah kedoktoran dalam Sastera Cum Laude dari Universiti Iskandariah Mesir, 1961

Walaupun pernah diceritakan mengenai kedua-dua mereka sebelum ini tetapi menerusi buku ini rasanya masih banyak mengenai Ummu Jamil dan Abu Lahab yang hendak dikongsi bersama.














Suara, muka bukan aurat


MAZHAB Shafie yang menjadi ikutan majoriti umat Islam negara kita meletakkan bahawa suara wanita, muka dan tangannya adalah bukan aurat.


BARU-baru ini isu niqab (cadur) timbul apabila Sheikhul Azhar Sheikh Muhammad Tantawi meminta para siswi Al-Azhar agar melepaskan niqab.

Walaupun ada pandangan mazhab lain mengatakan suara dan seluruh badan wanita adalah aurat namun yang jelas mazhab Shafie yang menjadi ikutan majoriti umat Islam negara kita meletakkan bahawa suara wanita, muka dan tangannya adalah bukan aurat.

Dan yang jelas lagi, tidak ada dalil al-Quran serta hadis mengatakan bahawa suara dan muka wanita serta tangannya itu aurat sebagaimana sangkaan sesetengah pihak.

Apakah mereka sedar bahawa Allah S.W.T membenarkan para sahabat berkomunikasi dan bercakap-cakap dengan mereka (isteri Nabi) di sebalik tirai sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Bertanyalah kepada mereka dari belakang tabir yang demikian itu lebih bersih bagi hati kamu dan mereka juga. (Al-Ahzab: 32 dan 53).

Dalam suatu hadis, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Apabila seorang gadis itu dewasa (sampai umur), maka tidak halal badannya terdedah selain muka dan tangannya sahaja."

Hakikat ini menggambarkan sebagaimana apa yang berlaku terhadap Asma binti Abu Bakar apabila Asma datang berjumpa Nabi SAW dengan pakaian jarang dan nipis. Baginda berpaling daripadanya lalu bersabda yang bermaksud: Wahai Asma, seorang wanita apabila sudah baligh, tidak elok lagi badan (tubuhnya) kelihatan selain muka dan tangannya sahaja. (Riwayat Abu Daud).

Demikian juga kaum wanita itu disuruh melabuhkan (tutupkan) atas lubang tengkuknya sahaja bukan bermaksud tutup atas muka mereka.

Kata Syaikh Yusuf al-Qardawi, pendapat Ibnu Abbas lebih kuat dan masyhur pada pandangan jumhur (kebanyakan) ulama, kerana katanya, banyak ayat dan hadis yang mengarahkan kaum lelaki daripada umat Islam menyekat atau menutup pandangan mata mereka, sama juga dengan kaum wanita disuruh merendahkan pandangan mata mereka.

Jika muka dan aurat wanita sudah tertutup kemas di depan mereka maka pastilah arahan tersebut menjadi sia-sia dan percuma tanpa sebarang makna dan tujuan.

Pada prinsipnya suara, muka dan tangan wanita bukanlah termasuk aurat. Sekiranya perkara tersebut memang merupakan aurat, maka sukarlah bagi kaum wanita dan tentunya taklif atau beban syariat yang dikenakan kepada mereka bersifat usr iaitu sangat sukar.

Ini bercanggah dengan prinsip agama Islam bahawa Ad-Dinu Yusr, iaitu agama itu mudah, sedangkan kaum wanita juga merupakan 'makhluk sosial' yang berhajat untuk berkomunikasi dengan sesama insan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki ajnabi) kerana yang demikian menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan). (Surah al-Ahzab: 32)

Allah tidak melarang mereka secara mutlak untuk bercakap dengan kaum lelaki bahkan membolehkan, selama tidak mendatangkan fitnah bagi dirinya dan bagi kaum lelaki itu.

Allah melarang kaum wanita untuk melembutkan suara dan mendedah kecantikan mereka semasa bercakap dengan kaum lelaki supaya mereka tidak tergoda ataupun tergugat keimanannya dan menimbulkan berahinya.

Dengan demikian, pada prinsip suara, muka dan tangan wanita bukanlah aurat yang dilarang untuk dilihat atau didengarkan.

Dahulu para sahabat daripada golongan lelaki dan wanita sering bertanya (berdialog) kepada Rasulullah SAW tentang masalah-masalah hukum-hakam dalam agama dan didengar oleh kaum lelaki dan wanita yang hadir daripada sahabat-sahabat baginda.

Bahkan sering pula mereka berdialog dengan para sahabat dan sebaliknya sebagaimana di saat ada seorang wanita yang mengkritik Umar r.a. tentang perkara mas kahwin.

Rasulullah SAW pernah didatangi seorang wanita yang menawarkan dirinya untuk dikahwini oleh Rasulullah SAW dan membiarkan Rasulullah memerhatikan dirinya dari atas ke bawah, tetapi setelah tidak ada sambutan yang memberangsangkan, maka dia pun terus duduk di situ, lalu berkatalah salah seorang daripada kalangan sahabat: "Kahwinkanlah wanita ini dengan saya."

Maka Rasulullah SAW terus mengahwinkan wanita tersebut dengan lelaki yang berminat kepadanya itu. Ini semua bukti melihat kepada muka wanita itu adalah harus dan bukan aurat.

Menurut Al-Qurtubi, suara wanita di saat berkata-kata bukanlah termasuk aurat, lelaki dibolehkan bercakap-cakap atau berdialog dengan wanita kerana ada hajat.

Demikian juga sebaliknya mereka dibolehkan membuka muka dan tangannya kerana tujuan tertentu tetapi wanita tidak dibolehkan memerdukan, melembutkan atau mengindahkan suaranya ketika bercakap dengan lelaki.

Ia kerana perkara demikian boleh menimbulkan berahinya dan juga membuat ia tergoda dan suka. Dengan demikian sangat dianjurkan bagi kaum wanita untuk tidak berdialog dengan kaum lelaki yang bukan mahramnya.

Dalam ketentuan syariah yang lebih berhati-hati (warak), dimakruhkan kepada kaum wanita untuk meninggikan suara dalam membaca al-Quran, demikian pula tidak disyariatkan 'azan' kecuali untuk jemaah wanita sahaja.

Di dalam syariat fikah, apabila seorang wanita ingin menegur kesilapan yang dilakukan oleh imam di dalam solat berjemaah, maka ia tidak boleh menegur dengan membaca 'tasbih' sebagaimana yang dilakukan oleh lelaki, tetapi cukup dengan menepuk tangannya sahaja sebagaimana yang disebutkan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim.

Demikian pula wanita tidak disyariatkan untuk membaca bacaan-bacaan dalam sembahyang dengan bacaan yang nyaring pada sembahyang Maghrib, Isyak dan Subuh sebagaimana yang disyariatkan bagi kaum lelaki sewaktu melakukan sembahyang sendirian.

Semua ini menunjukkan bahawa wanita mesti menjaga dan berhati-hati terhadap fitnah yang boleh disebabkan oleh suara dan perhiasan mereka, bukan bermakna suaranya dan perhiasan yang zahir merupakan aurat.

Di antara yang menggoda lelaki adalah derai tawa (ketawa) seorang wanita di depan mereka, apalagi jenis ketawa yang memberahikan.

Demikian pula senyuman diiringi dengan ketawa kecil yang seksi lagi menggoda, inilah yang sangat dilarang oleh agama kerana untuk menjaga harga diri wanita dan juga mencegah daripada timbulnya fitnah. Sama juga membunyikan perhiasan yang tersembunyi di kakinya.

Jika perkara tersebut dikatakan aurat, kenapa Rasulullah SAW sendiri pernah mengizinkan isteri baginda melihat pertunjukan dua orang lelaki Habsyi bermain pedang di pekarangan masjid dan mendengar dua wanita bernyanyi di rumahnya.

Ini berdasarkan hadis riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Aisyah r.a, katanya, Pada suatu hari Rasulullah SAW masuk ke tempatku. Ketika itu di sampingku ada dua orang gadis yang sedang mendendangkan nyanyian tentang hari Bu'ats. Ku lihat Rasulullah SAW berbaring tetapi dengan memalingkan mukanya.

Pada saat itulah Abu Bakar masuk dan ia marah kepadaku'. Katanya, "Di tempat rumah Nabi ada seruling syaitan?'' Mendengar seruan itu, Nabi SAW menghadapkan muka baginda kepada Abu Bakar dan berkata: "Biarkanlah kedua-duanya, hai Abu Bakar.

Dalam satu peristiwa lain, Rasulullah SAW mendengar nyanyian seorang wanita yang bernazar untuk memukul rebana dan bernyanyi di hadapan Rasulullah SAW.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Tarmizi, daripada Buraidah, menyebut: "Suatu hari Rasulullah SAW pergi untuk menghadapi suatu peperangan.

Setelah baginda pulang dari medan perang, datanglah seorang wanita kulit hitam lalu berkata, "Ya Rasulullah, aku telah bernazar, iaitu kalau tuan dipulangkan Allah dengan selamat, aku akan menabuh rebana dan bernyanyi di hadapan tuan. Mendengar hal itu, Rasulullah SAW bersabda: Jika demikian nazarmu, maka tabuhlah. Tetapi kalau tidak, maka jangan lakukan.

Kesemua keterangan tersebut menunjukkan bahawa suara wanita dan perhiasan yang zahir daripadanya bukan aurat.

Rasulullah SAW juga secara praktikal pernah berbicara dengan kaum wanita seperti mana ketika menerima bai'at daripada kaum ibu sebelum dan sesudah hijrah.

Bahkan dari segi syarak, baginda tidak pernah menghalang kaum wanita untuk melaksanakan urusan jual beli, menyampaikan ceramah, mengaji al-Quran, membaca qasidah atau syair. Jika suara wanita itu dianggap aurat, sudah tentu dari segi hukum syarak dianggap haram.

Keterangan ayat al-Quran dan hadis, ditambah dengan kisah-kisah yang dapat dijadikan teladan pada zaman Rasulullah SAW dahulu seharusnya membuka mata fikir kita untuk tidak terus 'menzalimi dan menghukumi' wanita secara sewenang-wenangnya.